
KUALA LUMPUR, 8 Mac– Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghampiri gelaran Kejohanan All England 2026 selepas menewaskan pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
- Perlawanan separuh akhir diselesaikan dalam 42 minit dengan keputusan 21-11, 21-19.
- Menguasai set pertama hanya dalam 15 minit, menunjukkan permulaan dominan.
- Set kedua sengit; bangkit daripada 15-18 ke 18-18 sebelum kemenangan 21-19. Final menanti antara Korea atau Indonesia.
Pilihan kedua kejohanan itu mengambil masa 42 minit untuk menumpaskan lawan mereka yang juga pasangan di ranking ke 11 dunia dengan keputusan 21-11, 21-19 pada aksi mendebarkan di Arena Utilita Birmingham.
Aaron-Wooi Yik memperoleh kelebihan awal apabila menguasai set pertama dalam tempoh hanya 15 minit.
Pertarungan set kedua bagaimanapun berlangsung sengit dengan suatu ketika Aaron Wooi Yik ketinggalan 15-18, namun berjaya bangkit menyamakan kedudukan 18-18 sebelum kemenangan memihak kepada pasangan nombor dua dunia itu dengan 21-19.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas akhir sama ada pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau gandingan Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi gelaran All England menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
– BERNAMA