
PUTRAJAYA, 29 November – Seorang wanita warga Jepun maut selepas terjatuh dari aras tiga Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Terminal 2, di sini, pagi tadi.
- Mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba untuk memberikan rawatan kecemasan.
- Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
- Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat.
- Kedutaan Jepun dimaklumkan, manakala siasatan dijalankan mengikut prosedur kematian mengejut. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi memaklumkan, mangsa terjatuh dari balkoni aras tiga ke kawasan ruang punggah (loading bay) KLIA Terminal 2 pada pukul 9.05 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian untuk memberikan rawatan kecemasan.
“Semakan mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga Jepun berusia 22 tahun. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.
Kedutaan Jepun telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR).
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak benar.