
KUALA LUMPUR, 29 November -Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelaksanaan dua model pelesenan bagi platform e-dagang sebagai sebahagian usaha menangani kemudaratan dalam talian selain melindungi pengguna.
- MCMC akan mengawal selia kemudaratan dalam talian, manakala KPDN bertanggungjawab terhadap isu kepenggunaan.
- RUU e-dagang oleh KPDN dijangka digubal menjelang pertengahan 2027.
- Bengkel antara agensi mencapai persetujuan menetapkan garis panduan mengenal pasti produk yang dilarang dijual.
- Platform e-dagang bersetuju menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu siasatan dan urusan mahkamah.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu akan memberikan tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian di bawah bidang kuasa MCMC, manakala isu kepenggunaan akan dikawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, langkah itu turut mengambil kira penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang oleh KPDN yang dijangka menjelang pertengahan 2027.
“KPDN akan menggubal Rang Undang-undang E-dagang dan dijangka menjelang pertengahan 2027. Masa yang sama MCMC dan Kementerian Komunikasi sedia untuk mengenakan apa-apa regim perlesenan sekiranya perlu.”
“..Kita telah meneliti undang-undang dan mungkin ke arah dua model pelesenan, iaitu MCMC melesenkan bagi perkara berkaitan kemudaratan dalam talian dapat diatasi oleh platform e-dagang, manakala dari segi kepenggunaan, ia dikawal oleh KPDN,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di ibu negara.
Bengkel berkenaan yang dihadiri lebih 13 platform e-dagang dan pelbagai agensi kerajaan berjaya mencapai persetujuan untuk menetapkan garis panduan mengenalpasti produk yang dilarang penjualannya menerusi platform berkenaan.
“….banyak daripada perbincangan berkisar isu-isu memastikan produk-produk yang dijual dalam platform platform e dagang ini adalah menepati piawaian dan juga tidak menyalahi undang-undang dalam negara kita.
“Beberapa perkara berjaya dicapai pertama, mengenai satu garis panduan untuk mengenal pasti produk serta barangan yang tidak boleh dijual berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Ini termasuk dadah berbahaya, kandungan penderaan seksual kanak-kanak ataupun child sexual abuse material, dan juga barang-barang terlarang seperti senjata api dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata pihak platform e-dagang juga jelas dengan peranan mereka untuk menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu siasatan dan urusan mahkamah khasnya membabitkan kes penjualan dadah.
Ini membolehkan semua platform memahami keperluan pihak berkuasa, termasuk unit jenayah siber Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi memastikan maklumat yang diperlukan untuk tindakan undang-undang dapat disediakan.
Bengkel yang julung kali dianjurkan itu disertai platform e-dagang utama antaranya Pinduoduo, Temu, Carousell, Facebook Marketplace, Shopee, Lazada, Foodpanda, Grab dan Mudah.my.