
TEHRAN, 29 November – Amerika Syarikat (AS) didakwa melancarkan serangan dron terhadap sebuah bot nelayan yang membawa tiga individu di Selat Hormuz, selatan Iran, menurut laporan media kerajaan negara itu pada Ahad.
- Serangan dilaporkan berlaku di perairan berhampiran daerah Sirik, selatan Iran.
- Pasukan penyelamat mencari pemilik bot yang hilang, manakala dua individu dibawa ke hospital.
- AS dilaporkan mengiringi kapal melalui Selat Hormuz, mencabar usaha Iran menutup laluan itu.
- Iran menyatakan selat itu berpotensi dibuka semula dalam dua hari jika Washington menerima tuntutan Tehran, termasuk penarikan sekatan.
Serangan itu dilaporkan berlaku di perairan berhampiran daerah Sirik, dengan dua daripada tiga individu yang berada di dalam bot berkenaan ditemukan, manakala seorang lagi masih hilang.
Media negara Iran yang memetik kenyataan tentera negara itu melaporkan, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan pemilik bot berkenaan.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Tehran dan Washington terus memuncak susulan pertikaian mengenai kawalan Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi perdagangan tenaga dunia.
Tentera AS dilaporkan sedang melaksanakan operasi mengiringi kapal-kapal yang melalui selat berkenaan, mencabar usaha Iran untuk menutup laluan perairan itu.
Sementara itu, usaha diplomatik bagi menamatkan perang yang tercetus pada Februari susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran masih menemui jalan buntu.
Keadaan bertambah rumit selepas perjanjian pada Jun yang bertujuan membuka laluan kepada penyelesaian kekal dilaporkan gagal dimuktamadkan.
Iran sebelum ini menyatakan Selat Hormuz boleh dibuka semula dalam tempoh dua hari, namun dengan syarat Washington menerima tuntutan Tehran, termasuk menarik balik sekatan terhadap laluan berkenaan.
Insiden terbaharu itu berpotensi meningkatkan lagi ketegangan di rantau berkenaan, ketika keselamatan laluan perdagangan minyak dan gas global terus menjadi perhatian antarabangsa.-AFP