Bezzecchi tawan Valencia selepas jentera Marquez terbakar

Asap berkepul-kepul dari motosikal Team Ducati Lenovo Team Marc Marquez sebelum permulaan perlumbaan pecut Moto GP Valencia Grand Prix pada 29 November 2026/Foto AFP

VALENCIA, 29 November – Pelumba Itali, Marco Bezzecchi menjuarai MotoGP Valencia pada Sabtu sekali gus meraih kelebihan tipis ke atas Jorge Martin dalam perebutan tempat kedua keseluruhan kejuaraan dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kegagalan lampu permulaan menyebabkan pelumba menunggu lama sebelum pelepasan dibatalkan apabila jentera Ducati Marc Marquez mengeluarkan asap.
  • Marquez meneruskan perlumbaan menggunakan jentera keduanya dan dikenakan penalti pusingan panjang berganda.
  • Susulan kekecohan di petak permulaan, perlumbaan pecut dipendekkan satu pusingan kepada 12 pusingan.
  • Marquez menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan bakal membuat penampilan terakhirnya pada Grand Prix penutup musim.

Pelumba Sepanyol, Martin menamatkan saingan di tempat kedua di hadapan Enea Bastianini dalam perlumbaan yang terpaksa ditangguhkan susulan insiden di petak permulaan apabila jentera Marc Marquez terbakar.

Kegagalan lampu permulaan menyebabkan para pelumba terpaksa menunggu lama, sebelum pelepasan dibatalkan apabila jentera Ducati milik Marquez mula mengeluarkan asap.

Marquez terpaksa meneruskan perlumbaan menggunakan jentera keduanya.

Pelumba Sepanyol itu turut dikenakan hukuman penalti pusingan panjang berganda susulan insiden berkenaan.

Susulan kekecohan tersebut, jarak perlumbaan pecut dipendekkan satu pusingan kepada 12 pusingan.

Martin berjaya memecut ke kedudukan kedua di selekoh pertama selepas bermula dari petak kelima, di belakang penyandang petak utama, Bezzecchi.

Sementara itu, Marquez jatuh ke kedudukan ke-14 selepas menjalani hukumannya sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

Kemenangan itu menyaksikan Bezzecchi yang menghuni tangga kedua keseluruhan kini mendahului Martin dengan kelebihan satu mata menjelang perlumbaan Grand Prix penutup musim pada Ahad.

Perlumbaan esok bakal menjadi penampilan terakhir Marquez selepas juara dunia lapan kali itu mengumumkan akan bersara pada penghujung musim ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.