Ibu maut, dua anak cedera kereta terbabas ke gaung

Foto RTM

KUANTAN, 28 November – Seorang wanita warga emas maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 17, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Selendang, Lipis, malam tadi (Jumaat).

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 66 tahun duduk di tempat penumpang hadapan, manakala kereta dipandu anak perempuannya yang berusia 29 tahun.
  • Anak lelaki mangsa, 31, duduk di tempat duduk belakang; mereka dipercayai dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur.
  • Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai hilang kawalan, melanggar tiang elektrik sebelum kereta terjunam ke gaung.
  • Anak lelaki mangsa patah pinggul, manakala pemandu cedera ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, mangsa berusia 66 tahun yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kereta berkenaan dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun, manakala seorang lagi anak lelakinya berusia 31 tahun duduk di tempat duduk penumpang belakang.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka dipercayai dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur ketika kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kereta terbabas, melanggar sebatang tiang elektrik dan terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, anak lelaki mangsa mengalami kecederaan patah pinggul, manakala pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Ismail meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.