
GUA MUSANG, 28 November – Sebanyak RM55 juta peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Perpaduan Negara tahun ini dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai program memperkukuh perpaduan masyarakat, termasuk pendidikan bahasa ibunda kepada komuniti Siam di negara ini.
- Pendidikan bahasa Siam membantu generasi muda menguasai semula bahasa ibunda yang semakin kurang dikuasai.
- Peruntukan disalurkan kepada persatuan Siam negeri dan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
- Program Kepelbagaian Etnik dan Warisan Kita menampilkan pameran, permainan tradisional, seni mempertahankan diri serta persembahan tarian etnik.
- Program itu bertujuan mengeratkan silaturahim, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Kelantan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) kementerian itu, Mohamad Sobri Mat Daud berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi membantu generasi muda komuniti berkenaan menguasai semula bahasa berkenaan.
“Daripada RM55 juta ini, kita agihkan kepada persatuan Siam negeri dan agensi di bawah kementerian.
“Bagi masyarakat Siam, kita beri tumpuan kerana bahasa mereka tidak diajar di sekolah. Jadi, mereka memohon sedikit peruntukan untuk melaksanakan pendidikan bahasa Siam dalam kalangan komuniti itu kerana ada golongan muda yang semakin kurang mahir menggunakan bahasa ibunda sendiri,” katanya demikian selepas Program Kepelbagaian Etnik dan
Warisan Kita Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dataran Kesedar, disini.
Program selama dua hari yang berakhir hari ini turut menampilkan pelbagai pengisian, antaranya pameran rumah pelbagai etnik, Galas Unity Night Walk, seni mempertahankan diri, permainan tradisional serta persembahan tarian etnik Siam, Orang Asli, Melayu, Cina dan India serta dikir barat.
Program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk persefahaman dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Kelantan.