
JOHOR BAHRU, 28 November – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat penilaian bagi menentukan status perkhidmatan lima anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tidak didakwa berhubung kes penyeludupan dadah menggunakan aset tentera di Selangor, pada 17 November lalu.
- Siasatan dalaman boleh menentukan sama ada anggota yang tidak didakwa wajar dikekalkan dalam perkhidmatan tentera.
- Kementerian memandang serius salah laku yang boleh menjejaskan imej ATM dan usaha menjaga pertahanan negara.
- TUDM menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk meneliti prosedur serta aspek berkaitan kes berkenaan.
- Kes itu diharap menjadi pengajaran kepada warga ATM dan siasatan diteruskan sehingga semua pihak terlibat dikenal pasti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian boleh dilakukan menerusi siasatan dalaman bagi menentukan sama ada mereka wajar dikekalkan dalam perkhidmatan.
“Sekiranya lima anggota itu dilepaskan atau tidak direman seperti tiga anggota lain, pihak tentera mungkin akan menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan status mereka.
“Mungkin tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membawa mereka ke mahkamah sivil atau mahkamah jenayah.
“Sehubungan itu, pihak tentera akan meneliti sama ada mereka wajar atau tidak untuk terus berkhidmat dalam perkhidmatan tentera.
“Namun, perkara pokoknya ialah kita sangat tegas dalam isu ini kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan imej ATM, malah menggagalkan usaha kita dalam menjaga pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Karnival CIMIC Johor @ Pasir Gudang di TMIYC Pasir Gudang.
Tegas Datuk Seri Mohamed Khaled, kementerian memandang serius sebarang salah laku anggota tentera kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan imej pasukan, malah menggagalkan usaha negara menjaga pertahanan.
Menurutnya, TUDM telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti semua prosedur serta aspek berkaitan kes berkenaan.
Setakat ini, tiga daripada lapan anggota yang dikaitkan dengan kes berkenaan telah didakwa di mahkamah, manakala status lima lagi anggota masih belum diputuskan.
Beliau mahu kes tersebut dijadikan pengajaran oleh semua warga ATM dan berharap tindakan undang-undang yang diambil terhadap pelaku dapat membersihkan nama pasukan.
“Saya percaya mungkin akan ada lagi tangkapan yang melibatkan kes ini. Kita tidak tahu kerana polis yang menjalankan siasatan.
“Apa pun, saya berharap melalui kes ini ia dapat membersihkan ATM, terutamanya kerana kes ini melibatkan TUDM.
“Kalau ada tangkapan, tidak mengapa. Kes ini perlu disiasat sehingga semuanya dapat ditangkap, tidak kira siapa,” katanya.