4,700 penggiat seni terima perlindungan sosial PERKESO

Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 November – Seramai 4,700 penggiat industri kreatif, termasuk 200 artis veteran, menerima manfaat perlindungan keselamatan sosial menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2024 hingga 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama FINAS-PERKESO memperluas perlindungan sosial kepada penggiat seni, termasuk pekerja di belakang tabir.
  • Inisiatif itu menyediakan tajaan caruman SKSPS kepada penggiat seni.
  • Skim melindungi individu bekerja sendiri daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan serta menyediakan manfaat perubatan dan faedah hilang upaya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu memperluas akses perlindungan sosial kepada penggiat seni, termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir industri kreatif.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menekankan kepentingan menjaga kebajikan golongan berkenaan melalui jaringan perlindungan sosial negara.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan melalui hantaran sama, kerjasama FINAS-PERKESO turut menyediakan kuota tajaan caruman khusus kepada penggiat seni, berbanding 2022 ketika inisiatif itu belum diperkenalkan.

Pada April 2024, FINAS mengumumkan tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO kepada 4,500 penggiat seni berjumlah RM104,850, hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Sumber Manusia.

Menerusi skim berkenaan, individu yang bekerja sendiri mendapat perlindungan terhadap kemalangan dan penyakit berkaitan pekerjaan, selain manfaat perubatan serta faedah hilang upaya sementara atau kekal.

Perlindungan itu turut merangkumi faedah kepada orang tanggungan sekiranya berlaku kematian akibat bencana pekerjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.