100,000 pengunjung dijangka hadir program Yakin MADANI di Balik Pulau

Pengunjung program Yakin MADANI di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini/ RTM

BALIK PULAU, 28 November- Program Yakin MADANI peringkat negeri Pulau Pinang yang julung kali diadakan di Balik Pulau menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengunjung menyambut baik program yang menyediakan pameran agensi kerajaan, perkhidmatan dan aktiviti untuk masyarakat setempat.
  • Pelbagai kemudahan ditawarkan, termasuk urusan kad pengenalan, wang tidak dituntut, beras percuma dan potong rambut.
  • Jualan barangan keperluan pada harga berpatutan serta aktiviti sosial memberi manfaat kepada keluarga dan golongan muda.

Rata-rata pengunjung menyambut baik penganjuran program berkenaan yang menyediakan pelbagai pameran, perkhidmatan agensi kerajaan dan aktiviti untuk masyarakat setempat.

Pengunjung, Mohamad Anuar Hamid berkata program itu memberi manfaat kepada rakyat menerusi pameran agensi kerajaan dan pemberian beras percuma.

“Untuk rakyat, tanpa mengira golongan, program ini banyak memberi manfaat. Pengunjung dapat melihat pelbagai pameran daripada agensi kerajaan, selain menerima beras percuma,” katanya.

Nurharyani Abdul Ghani pula berkata kehadiran pelbagai jabatan kerajaan memudahkan penduduk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan termasuk urusan kad pengenalan serta wang tidak dituntut.

Bong Lee Kia berkata beliau gembira dapat menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan, termasuk pemberian beras dan topi serta perkhidmatan potong rambut.

Sementara itu, Kamal Basya Naina Mohd berkata program berkenaan membantu meringankan perbelanjaan harian menerusi aktiviti berkaitan motosikal serta jualan barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Selain menukar minyak hitam dan helmet motosikal, kami juga dapat membeli barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya.

Nur Ashikin Arbi berkata beliau membawa anak-anak ke program itu bagi memberi mereka pengalaman baharu dan peluang berinteraksi dengan masyarakat.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi pendedahan kepada golongan muda, khususnya kanak-kanak, melalui aktiviti sosial yang membawa kepada kebaikan,” katanya.

Shahrin Arshad berkata beliau gembira program berkenaan diadakan buat kali pertama di Balik Pulau kerana menyediakan pelbagai aktiviti dan pameran untuk penduduk setempat.

Program itu akan melabuhkan tirainya esok dengan majlis perasmian penutup oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.