
SHAH ALAM, 28 November- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, pada Jumaat.
- SIBF 2026 menekankan literasi kritis bagi membantu masyarakat menilai maklumat pantas dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan.
- Amalan membaca membantu masyarakat membezakan fakta daripada maklumat palsu dan membuat pertimbangan bijak, khususnya generasi muda.
- Kempen “Beli, Baca dan Amal” menggalakkan masyarakat mengamalkan ilmu serta menyokong penulis, penerbit dan industri buku tempatan.
- Kerajaan negeri memperuntukkan RM150,000 melalui Baucar Buku Kita Selangor dan mengurangkan sewaan reruai sebanyak RM500.
Berlangsung selama 10 hari bermula 27 November hingga 6 Disember ini, pesta buku berkenaan memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh literasi kritis masyarakat dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat pantas dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan sembah ucapan berkata amalan membaca bukan sekadar menambah pengetahuan, malah membina keupayaan masyarakat membezakan fakta daripada maklumat palsu serta membuat pertimbangan bijak.
Menurutnya, kemahiran berfikir secara kritis amat penting, khususnya dalam kalangan generasi muda, bagi menghadapi perkembangan teknologi AI yang semakin mempengaruhi cara masyarakat memperoleh dan menilai maklumat.
Menerusi kempen ‘Beli, Baca dan Amal’, masyarakat turut digalakkan menterjemahkan ilmu daripada pembacaan kepada amalan harian, termasuk dalam urusan kerja, pembangunan keluarga dan sumbangan kepada komuniti.
Dalam masa sama, pembelian buku turut menjadi sokongan kepada penulis, penerbit dan penggiat industri perbukuan tempatan, sekali gus membantu kelangsungan ekosistem penerbitan negara.
Bagi memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti, kerajaan negeri memperuntukkan RM150,000 menerusi Baucar Buku Kita Selangor selain mengurangkan kadar sewaan reruai sebanyak RM500 bagi meringankan kos pempamer.
Bertemakan ‘Menghubungkan Hati dan Minda’, SIBF 2026 turut mengangkat peranan buku dalam memupuk empati, meluaskan perspektif serta menghubungkan masyarakat menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman.
Penganjuran SIBF 2026 diharap dapat memperkukuh budaya ilmu serta membentuk masyarakat yang bukan sahaja gemar membaca, malah berupaya berfikir secara kritis dan mengamalkan pengetahuan dalam kehidupan.