
BUCHAREST, 28 November – Gerakan Student List Serbia, yang memenangi pilihan raya Parlimen bulan lepas, pada Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya mencalonkan profesor kimia Radomir Saicic sebagai calonnya bagi pilihan raya presiden pada 27 Dis ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- Radomir Saicic, profesor kimia berusia 65 tahun, dicalonkan Student List sebagai calon presiden Serbia.
- Saicic ialah anggota Akademi Sains dan Seni Serbia serta ahli Parlimen yang baru dipilih.
- Parti Progresif Serbia pimpinan Aleksandar Vucic masih belum menamakan calon presiden.
- Calon presiden perlu mengemukakan sekurang-kurangnya 10,000 tandatangan sokongan yang disahkan, 20 hari sebelum pengundian.
Saicic, 65, ialah anggota Akademi Sains dan Seni Serbia serta menganggotai Parlimen yang baharu dipilih sebagai wakil Student List.
Gerakan itu, yang muncul susulan demonstrasi antirasuah yang melanda seluruh negara selepas insiden runtuhan struktur bumbung stesen kereta api yang meragut nyawa di bandar Novi Sad pada 2024, menguasai majoriti mutlak di Parlimen.
Parti Progresif Serbia pimpinan bekas Presiden Aleksandar Vucic masih belum menamakan calon bagi pilihan raya presiden itu.
Vucic dilarang di sisi perlembagaan daripada bertanding bagi penggal seterusnya selepas berkhidmat selama dua penggal sebagai presiden.
Mengikut undang-undang Serbia, calon presiden perlu mengemukakan sekurang-kurangnya 10,000 tandatangan sokongan yang disahkan selewat-lewatnya 20 hari sebelum hari pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya perlu meluluskan pencalonan mereka.-BERNAMA