SPRM nafi siasatan dua darjat kes JALB

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya mengamalkan siasatan dua darjat berhubung kes perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes JALB.
  • Siasatan yang bermula pada 7 Oktober 2026 masih berjalan, dengan SPRM meneliti maklumat dan keterangan secara menyeluruh.
  • SPRM menegaskan siasatan berasaskan fakta, bukti dan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.

Menerusi kenyataan media, SPRM memaklumkan seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Siasatan membabitkan perbelanjaan projek JALB yang melibatkan sebuah kementerian itu telah dimulakan pada 7 Oktober 2026 dan masih berjalan.

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

SPRM menyifatkan dakwaan berhubung amalan siasatan dua darjat sebagai tidak berasas serta tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti dan tatacara kerja yang diamalkan dalam setiap proses siasatan.

Suruhanjaya itu menghormati hak semua pihak untuk mengemukakan pandangan, kritikan dan teguran, namun menegaskan sebarang dakwaan atau kenyataan perlu berasaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya bersandarkan persepsi atau andaian.

SPRM turut menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu yang terlibat.

Komitmen suruhanjaya itu untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus akan terus dipertahankan bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.