Tarif baharu AS ancam daya saing eksport Malaysia

Kedudukan kadar tarif Malaysia yang secara relatifnya masih kompetitif berbanding beberapa negara serantau

KUALA LUMPUR, 27 November – Cadangan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia berpotensi menjejaskan daya saing eksport negara, khususnya sektor teknologi, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan automotif yang mempunyai pendedahan terhadap pasaran negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan perdagangan di bawah Seksyen 301 mencerminkan kebangkitan semula dasar perlindungan perdagangan AS.
  • Ketidaktentuan tarif boleh melemahkan sentimen pasaran, namun kadar Malaysia yang kompetitif berpotensi mengekalkan daya tarikan pelaburan pembuatan.
  • Pengeluar perlu memperkukuh daya saing dan mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS.

Apex Securities berpendapat, langkah pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan siasatan perdagangan di bawah Seksyen 301 terhadap 14 rakan dagang termasuk Malaysia mencerminkan kebangkitan semula dasar perlindungan perdagangan AS.

“Walaupun kadar tarif yang dipersetujui Malaysia ketika ini adalah 18 peratus, cadangan baharu berkenaan berpotensi membawa kadar tarif sehingga 25 peratus, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan terhadap prospek perdagangan dan eksport negara,” katanya dalam satu nota kajian.

Perkembangan itu susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada Februari 2026 yang menolak penggunaan tarif berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), mendorong Washington meneroka saluran perundangan alternatif menerusi Seksyen 301 bagi melindungi industri domestiknya.

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan berkenaan berpotensi melemahkan sentimen pasaran dalam jangka pendek terutama terhadap syarikat pengeluar tempatan yang bergantung kepada eksport ke AS.

Bagaimanapun, kedudukan kadar tarif Malaysia yang secara relatifnya masih kompetitif berbanding beberapa negara serantau berpotensi membantu mengekalkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan sektor pembuatan dalam jangka panjang.

Apex Securities turut menjangkakan, prestasi saham syarikat tempatan akan menunjukkan perbezaan ketara, dengan pelabur memberi keutamaan kepada syarikat yang mempunyai pendapatan lebih berdaya tahan, kepelbagaian pasaran serta pendedahan kepada pertumbuhan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pelaburan infrastruktur domestik.

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menegaskan cadangan tarif berkenaan masih tertakluk kepada proses rundingan dan pengecualian bagi produk tertentu.

Perkembangan itu bagaimanapun menambah ketidaktentuan perdagangan global dan meningkatkan keperluan kepada pengeluar Malaysia untuk memperkukuh daya saing serta mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada pasaran AS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.