
KUALA LUMPUR, 26 November– Malaysia perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi pertahanan siber yang lebih proaktif bagi mengekang eksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk teknologi pemalsuan imej atau deepfake dan serangan automatik.
- Pertahanan siber perlu berasaskan risikan, analitik dan keupayaan ramalan.
- Agensi kerajaan dan industri digalakkan memperkukuh R&D agar Malaysia mampu mencipta penyelesaian teknologi serantau.
- Keselamatan siber ialah isu keselamatan negara dan kedaulatan digital yang memerlukan kerjasama sektor awam, swasta serta institusi pengajian tinggi.
- Modal insan dan budaya keselamatan siber masyarakat penting untuk memastikan sistem negara pulih dengan pantas apabila terganggu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menegaskan bahawa negara tidak boleh sentiasa berada selangkah di belakang penjenayah siber, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan berasaskan risikan, analitik dan keupayaan ramalan.
“Kemunculan AI telah mengubah landskap keselamatan siber secara ketara. Justeru, agensi kerajaan dan industri digalakkan terus memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi berupaya menjadi pencipta penyelesaian serantau,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Abdul Halim menjelaskan bahawa keselamatan siber kini merupakan isu keselamatan negara dan kedaulatan digital yang menuntut kerjasama konkrit antara sektor awam, swasta dan institusi pengajian tinggi, bukan sekadar di atas kertas.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa keupayaan modal insan serta pembudayaan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat kekal menjadi barisan pertahanan utama dalam memastikan sistem negara mampu pulih dengan pantas apabila berdepan gangguan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan NEXSEC 2026 bertemakan Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Program dua hari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari Malaysia dan negara anggota ASEAN, meningkat mendadak berbanding 250 peserta tahun lalu.