
TANGERANG, 26 November – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), diberi mandat oleh China dan negara-negara ASEAN sebagai penyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai RM19.7 juta, bagi memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.
- Projek ASEAN-China merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan operasi kecemasan.
- Malaysia menekankan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama bagi memastikan pasukan rentas sempadan bersedia beroperasi bersama.
- Malaysia mengutamakan kesiapsiagaan komuniti, kepimpinan tempatan, sistem amaran awal dan penyampaian maklumat bencana secara digital.
- Malaysia menyeru pengukuhan AHA Centre dan kerjasama One ASEAN, One Response merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan serta tindakan awal.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, projek yang sedang dilaksanakan hingga Oktober 2028 itu merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan, termasuk arahan operasi kecemasan.
“Sistem itu turut merangkumi aplikasi mudah alih untuk membantu pasukan di lapangan menyelaras operasi ketika bencana,” katanya.
Jelasnya, ketika pembentangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana ke-6 itu, beliau memberi penekanan terhadap kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama berdasarkan Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030.
“Apabila bantuan perlu digerakkan merentas sempadan, pasukan dari negara berbeza mesti sudah terlatih untuk beroperasi bersama dan jelas tentang peranan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, ASEAN turut melancarkan tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026-2030 bersama China, Jepun dan Korea Selatan.
Jelasnya, dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan.
“Dalam sesi bersama Korea Selatan pula, Malaysia menggariskan keutamaan untuk memperkukuh sistem amaran awal dan memperluas penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko,” katanya.
Katanya, melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, Malaysia sedang membangunkan strategi di peringkat negeri agar persediaanmenghadapi bencana disesuaikan dengan risiko setempat dan keperluan golongan rentan.
“Di peringkat serantau, Malaysia menyeru agar AHA Centre diperkukuh melalui sokongan institusi dan pembiayaan yang mampan.
“Kerjasama bawah One ASEAN, One Response juga perlu merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan awal agar negara anggota dapat menyelaras bantuan sebaik sahaja amaran dikeluarkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar NADMA dan Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Korea Selatan (MOIS), mula mengenal pasti peluang untuk latihan bersama dan pertukaran kepakaran.
“Kerjasama ini boleh diteroka sementara draf Memorandum Persefahaman mengenai pengurusan bencana menjalani semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam pertemuan dua hala bersama MOIS.
Katanya, Malaysia turut meneroka peluang untuk menempatkan pegawai pengurusan bencana negara di Korea Selatan bagi menjalani latihan bawah Program PRESTIJ Pengurusan Bencana.
“Melalui latihan ini, pegawai kita berpeluang mempelajari cara sistem amaran awal dan teknologi kecemasan digunakan di lapangan serta membawa pulang amalan yang sesuai untuk diterapkan dalam operasi di Malaysia,” katanya.
Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog bagi memastikan Program Kerja AADMER 2026-2030 diterjemahkan kepada tindakan nyata yang melindungi nyawa, mata pencarian dan hasil pembangunan yang telah dicapai.