
KUALA LUMPUR, 26 November – Keputusan PKR Sarawak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 adalah bagi mencerminkan semangat kerjasama erat bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
- Anwar menafikan dakwaan Chong Chieng Jen bahawa beliau dan PKR tunduk kepada GPS.
- PKR Sarawak menarik diri daripada PRN sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
- Langkah itu bertujuan menjamin kestabilan politik dan kelancaran pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu sekali gus menafikan dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kononnya beliau dan parti itu tunduk kepada GPS.
“Kita kerjasama (dengan GPS) bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di ibu negara hari ini.
Terdahulu, PKR Sarawak mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada PRN Sarawak kali ini sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Langkah itu juga diambil demi menjamin kestabilan politik serta memastikan kelancaran pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum ini, Chong mendakwa keputusan PKR tersebut seolah-olah mengorbankan demokrasi di Sarawak sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan.