
KUALA LUMPUR, 26 November – Kesaksamaan gender di Malaysia terus menunjukkan peningkatan apabila Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan skor 0.711 pada 2025, berbanding 0.708 pada 2024, sekali gus menunjukkan 71.1 peratus jurang antara wanita dan lelaki telah dirapatkan.
- Peningkatan penyertaan dan peluang ekonomi wanita disokong oleh kenaikan kadar penyertaan tenaga buruh, purata gaji serta jumlah wanita dalam jawatan kanan dan profesional.
- Subindeks pencapaian pendidikan menurun sedikit, namun perempuan mencatatkan kadar enrolmen lebih tinggi di peringkat menengah dan tertiari.
- Penguasaan politik kekal sebagai cabaran utama, dengan perwakilan wanita hanya 15.6 peratus dalam jawatan menteri dan 13.5 peratus di Dewan Rakyat.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan MGGI 2026 yang diterbitkan hari ini memaklumkan, peningkatan itu didorong terutamanya oleh prestasi lebih baik dalam subindeks penyertaan dan peluang ekonomi.
”Subindeks berkenaan meningkat 0.025 mata kepada 0.728 pada 2025 berbanding 0.703 pada tahun sebelumnya..
”Kadar penyertaan tenaga buruh wanita turut meningkat sedikit kepada 56.6 peratus pada 2025 berbanding 56.5 peratus pada 2024,” jelas DOSM.
Purata gaji dan upah bulanan wanita juga meningkat kepada RM3,635 berbanding RM3,499 dalam tempoh sama.
Selain itu, bilangan wanita yang memegang jawatan penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus meningkat kepada 241,000 orang berbanding 219,000 orang, manakala jumlah wanita dalam pekerjaan profesional dan teknikal bertambah kepada 1.80 juta daripada 1.70 juta.
Bagaimanapun, subindeks pencapaian pendidikan mencatatkan sedikit penurunan kepada 1.064 pada 2025 berbanding 1.073 pada 2024.
DOSM berkata, kadar enrolmen kasar perempuan dan lelaki di peringkat rendah adalah sama, iaitu 99.7 peratus, manakala perempuan mencatatkan kadar lebih tinggi di peringkat menengah dan tertiari, masing-masing 95.9 peratus dan 57.1 peratus.
Subindeks kesihatan dan kehidupan pula mencatatkan skor 0.957 pada 2025, dengan jangka hayat ketika lahir bagi perempuan meningkat kepada 77.8 tahun berbanding 65.6 tahun pada 1970.
Nisbah jantina ketika lahir turut merekodkan 933 bayi perempuan bagi setiap 1,000 bayi lelaki pada 2025.
”Sementara itu, subindeks penguasaan politik mencatatkan skor terendah, iaitu 0.094 pada 2025, mencerminkan cabaran berterusan dalam meningkatkan perwakilan wanita di peringkat kepimpinan dan pembuatan keputusan.
”Wanita hanya merangkumi 15.6 peratus daripada keseluruhan jawatan menteri, manakala perwakilan mereka di Dewan Rakyat sebanyak 13.5 peratus,” tambah DOSM.
Dari segi perbandingan negeri, Kuala Lumpur mencatatkan skor MGGI tertinggi, iaitu 0.781, diikuti Labuan (0.756) dan Putrajaya (0.754).
Sebaliknya, lima negeri merekodkan skor di bawah paras nasional 0.711, iaitu Melaka (0.707), Terengganu (0.706), Pahang (0.704), Sarawak (0.698) dan Johor (0.693).
“Negeri-negeri berkenaan masih mempunyai baki jurang gender antara 29.3 hingga 30.7 peratus sebelum kesaksamaan penuh antara wanita dan lelaki dapat dicapai,” jelas DOSM.