Verstappen buru kemenangan keempat di Qatar

Foto Hiasan

DOHA, 26 November – Max Verstappen menyasarkan kemenangan keempat berturut-turut di Grand Prix Qatar hujung minggu ini bagi mengukuhkan dominasi terbaharunya ketika Formula One (F1) menuju penamat musim di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Verstappen meraih empat kemenangan daripada enam perlumbaan terakhir, menjadikan jumlah kemenangan kariernya 75.
  • Litar Doha mempunyai selekoh kompleks dan laluan beralun, manakala Red Bull menyasarkan tempat ketiga kejuaraan konstruktor.
  • Ferrari mendahului Red Bull sebanyak 49 mata dalam perebutan tempat kedua, sementara ketegangan antara Verstappen dan Russell berterusan.

Juara dunia empat kali itu, yang memenangi Grand Prix Las Vegas Ahad lalu, meraih empat kemenangan daripada enam perlumbaan terakhir, sekali gus meningkatkan jumlah kemenangan kariernya kepada 75.

Verstappen turut kembali terlibat dalam persaingan sengit dengan pelumba Mercedes, George Russell, yang pertelingkahan mereka menambah ketegangan menjelang dua perlumbaan terakhir musim ini.

Russell dan rakan sepasukan, Kimi Antonelli, turut mencuri perhatian selepas Antonelli dinobatkan sebagai juara dunia termuda dan pelumba Itali pertama memenangi gelaran sejak 1953 di Mexico pada 1 November, sebelum Mercedes mengesahkan kejuaraan konstruktor di Brazil seminggu kemudian.

Verstappen berkata litar Doha mempunyai karakter berbeza, dengan selekoh kompleks dan laluan beralun yang memerlukan jentera berprestasi tinggi ketika mengambil selekoh pantas.

Beliau berkata pasukan Red Bull konsisten sepanjang musim dan kini memberi tumpuan untuk menamatkan saingan di tempat ketiga kejuaraan konstruktor.

Ferrari pula berusaha mengelakkan masalah dalaman selepas insiden perlanggaran antara Charles Leclerc dan rakan sepasukan, Lewis Hamilton, yang menyaksikan McLaren meraih kedudukan kedua dan ketiga di Las Vegas.

Ferrari kini mendahului Red Bull dengan kelebihan 49 mata dalam perebutan tempat kedua kejuaraan konstruktor, dengan dua perlumbaan masih berbaki.

Musim akan berakhir di Abu Dhabi minggu depan, dengan Verstappen memiliki rekod lima kemenangan dalam enam tahun di litar berkenaan.

Ketegangan antara Verstappen dan Russell dijangka berterusan di Litar Antarabangsa Lusail, selepas kedua-duanya saling melontarkan kritikan ketika musim menghampiri penamat. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.