Dana levi RM3 bilion HRD Corp fokus tingkat prestasi pekerja

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan

KUALA LUMPUR, 26 November – Inisiatif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) memanfaatkan dana levi RM3 bilion untuk menyediakan tiga juta peluang latihan kemahiran mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, produktif dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyediakan RM8 bilion menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkasa TVET, manakala HRD Corp memperluas akses kepada latihan berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
  • Inisiatif PACE bernilai RM100 juta merangkumi 10 program strategik bagi memperluas pembangunan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.
  • Keberkesanan latihan dinilai melalui peningkatan keupayaan pekerja dan prestasi organisasi, khususnya ketika teknologi, pendigitalan dan AI mengubah landskap pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada komitmen lebih besar kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang menyediakan RM8 bilion merentasi kementerian bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi HRD Corp terus komited memperluas akses kepada latihan berkualiti yang relevan dengan industri serta memenuhi keperluan semasa majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala HRD Awards 2026 bersempena sambutan Jubli Perak anugerah berkenaan di sini.

Dalam pada itu, KESUMA turut memperkenalkan inisiatif Progressive Acceleration for Capability and Employability (PACE) bernilai RM100 juta menerusi HRD Corp.

Inisiatif yang merangkumi 10 program strategik termasuk DIGITAL, BORNEO dan VETRI MADANI itu bertujuan memperluas akses kepada pembangunan kemahiran serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja merentasi komuniti dan industri.

Katanya, usaha meningkatkan kemahiran dan latihan semula atau ‘reskilling’ kini menjadi keperluan, susulan perubahan landskap pekerjaan yang dipacu perkembangan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut menegaskan keberkesanan pembangunan sumber manusia tidak seharusnya diukur berdasarkan sijil atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya melalui peningkatan keupayaan pekerja dan prestasi organisasi.

Mengambil contoh kejayaan program latihan yang dilaksanakan penyedia latihan Spark Activators Sdn. Bhd., beliau berkata penggunaan platform HyperCoach berasaskan AI membolehkan peserta menerima bimbingan dan pembelajaran secara peribadi sehingga enam bulan selepas tamat latihan.

Malah, program pembangunan kepimpinan itu turut memberi manfaat kepada ZUS Coffee menerusi pelaksanaan 38 sesi latihan untuk pengurus daerah syarikat berkenaan.

Menurut beliau, impak sebenar latihan kemahiran terserlah apabila peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah lebih yakin, berupaya meningkatkan prestasi dan mempunyai peluang perkembangan kerjaya yang lebih baik.

HRD Awards yang mula diperkenalkan pada 2001 kini memasuki tahun ke-25, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan majikan, penyedia latihan dan jurulatih dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.