Kerajaan percepat pindaan Akta 173 dan 174 perkasa kebebasan bersuara mahasiswa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni penonton yang hadir pada program khas Dialog Negara diiringi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail di Angkasapuri Kota Media / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Kerajaan akan mempercepat pindaan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) bagi memperkasa kebebasan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa peruntukan Akta 173 dan Akta 174 dilihat terlalu ketat dalam mengawal kebebasan mahasiswa.
  • Peruntukan berkenaan perlu disemak semula bagi memberi lebih kebebasan akademik dan kepimpinan mahasiswa.
  • Kebebasan menyuarakan pandangan tidak mengecualikan mahasiswa daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan jenayah.
  • Pemikiran mahasiswa tidak harus disekat, sebaliknya mereka perlu diberi kepercayaan dan ruang membina kematangan serta kepimpinan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa peruntukan dalam kedua-dua akta berkenaan dilihat lebih ketat dalam mengawal kebebasan mahasiswa.

Justeru peruntukan itu penting disemak semula untuk memberi lebih kebebasan akademik dan kepimpinan mahasiswa di universiti.

“Anak-anak kita patut diberikan ruang dan kebebasan. Biar dia bersuara, biar dia beri pandangan. Mengapa nak dikongkong pemikiran dia?” katanya ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Menurutnya, kebebasan mahasiswa menyuarakan pandangan tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan jenayah kerana perkara itu tertakluk kepada undang-undang berlainan.

Beliau turut menegaskan pendekatan menyekat pemikiran mahasiswa perlu dihentikan, sebaliknya mereka seharusnya diberikan kepercayaan dan ruang untuk membentuk kematangan serta kepimpinan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.