Juruterbang TUDM ‘transporter’ seludup syabu dari Subang ke Sabah

Datuk Hussein Omar Khan/Foto BERNAMA

TUMPAT, 25 November – Polis mengesahkan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 13 individu yang ditahan berhubung penemuan 96.6 kilogram (kg) dadah
jenis syabu bernilai hampir RM5 juta di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Juruterbang TUDM berperanan sebagai koordinator dan pengangkut dadah dari Lembah Klang ke Sabah.
  • Bekalan dipercayai dibawa dari Subang ke Labuan dan Tawau, sementara upah serta kekerapan perjalanan masih disiasat.
  • Tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan; sindiket turut cuba menggunakan lapangan terbang lain sebagai laluan alternatif.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata juruterbang berkenaan berperanan sebagai koordinator dan pengangkut (transporter) bagi membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.

“Selain bertindak sebagai koordinator, suspek juga berperanan sebagai penghantar (transporter) yang membawa bekalan dadah. Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap ahli-ahli lain sindiket tersebut.

“Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan lanjut akan diambil. Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing, merangkumi ketua sindiket, koordinator, penghantar serta ahli-ahli lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Hussein berkata siasatan awal mendapati bekalan dadah dibawa dari Subang ke Labuan dan Tawau, dengan kemungkinan turut dihantar ke lokasi lain.

Namun jumlah upah dan kekerapan perjalanan menggunakan aset tentera masih disiasat.

Setakat ini, seramai tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang, Labuan dan Sabah, manakala beberapa individu lain sudah dikenal pasti.

Sementara itu, beliau mendedahkan sindiket dadah kini cuba menjadikan lapangan terbang lain sebagai laluan alternatif selepas kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, diperketatkan termasuk cubaan di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.

“Sindiket ini menggunakan segala ruang dan peluang yang ada. Sekiranya gagal menembusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan cuba beralih ke lapangan terbang lain. Kita percaya lapangan terbang lain turut menjadi sasaran sindiket ini,” tegasnya.

Beliau menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melaksanakan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memperketat kawalan di semua lapangan terbang negara.

Datuk Hussein berkata demikian ketika melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob di Pengkalan Kubor di sini.

Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Sungkai, Perak pada 17 November lalu.

Datuk Hussein yang juga Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) menyampaikan pampasan berjumlah RM72,500 kepada keluarga Allahyarham.

Jumlah itu merangkumi RM66,000 pampasan insurans kelompok takaful manakala selebihnya khairat kematian takaful dan koperasi.

Setakat ini, KPDRM mempunyai 123,000 ahli dan Ketua Polis Negara bersetuju mewajibkan anggota polis baharu menyertai koperasi serta mencarum sekurang-kurangnya dua unit takaful kelompok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.