
KUALA LUMPUR, 25 November – Malaysia perlu memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi proses penghijrahan kuantum khususnya menerusi pelaksanaan komunikasi selamat kuantum (quantum-safe communication), bagi memastikan keselamatan data dan rangkaian komunikasi negara terus terpelihara.
- Perkembangan teknologi kuantum global menuntut Malaysia mengambil langkah proaktif memperkukuh sistem keselamatan digital bagi menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.
- Komunikasi selamat kuantum penting untuk melindungi data yang disalurkan melalui talian telekomunikasi dan gelombang mikro daripada pencerobohan, kecurian atau penggodaman.
- Program NEXSEC meningkatkan kesedaran umum dan memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat keselamatan siber bersama pihak industri.
- Kerjasama kerajaan, MCMC, syarikat telekomunikasi dan GASA perlu dipergiat bagi menangani penipuan yang terus berkembang serta melindungi rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan teknologi kuantum di peringkat global menuntut Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh sistem keselamatan digital, khususnya bagi menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.
Menurutnya, usaha berkenaan juga penting dalam memastikan infrastruktur komunikasi negara kekal selamat serta mampu melindungi maklumat sensitif daripada sebarang bentuk pencerobohan.
“Apa yang kita lihat, trend dunia ketika ini bukan sahaja tertumpu kepada kriptografi kuantum, malah turut memberi penekanan kepada komunikasi selamat kuantum bagi memastikan segala data yang disalurkan menerusi talian telekomunikasi, gelombang mikro dan sebagainya tidak dapat diceroboh, dicuri atau digodam.
“Jadi, harapan saya agar program pada hari ini dapat meningkatkan kesedaran umum, selain memberi peluang kepada para pelajar untuk bersama-sama pihak industri mengasah bakat dalam bidang keselamatan siber,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NEXSEC 2026 di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyambut baik penyerahan laporan Global Anti-Scam Alliance (GASA) yang mendokumentasikan pelbagai inisiatif kerajaan Malaysia dalam menangani jenayah penipuan secara lebih menyeluruh.
Datuk Seri Fahmi berkata, beberapa bentuk penipuan, termasuk call spoofing, menunjukkan penurunan sejak tahun lalu hasil usaha berterusan kerajaan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.
Bagaimanapun, katanya, usaha berterusan perlu dipergiat memandangkan sindiket penipuan sentiasa mencari kaedah baharu untuk memperdaya orang ramai.
“Sehubungan itu, MCMC terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk GASA, bagi mengenal pasti pendekatan lebih berkesan dalam meningkatkan keselamatan digital serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa jenayah penipuan,” ujarnya.