Anugerah NYALA pacu reformasi pendidikan

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 25 November – Reformasi pendidikan perlu bermula di bilik darjah bagi memastikan sekolah mencapai tahap kecemerlangan menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anugerah NYALA menggalakkan budaya baharu dan reformasi pendidikan yang diterapkan dalam kehidupan bilik darjah.
  • Pengiktirafan KPM menghargai sumbangan serta kecemerlangan warga dan institusi pendidikan dalam bidang masing-masing.
  • Reformasi perlu memberi impak langsung kepada keselamatan, pembelajaran dan pembentukan moral murid di bandar serta luar bandar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Anugerah NYALA bertemakan Kisah Reformasi Pendidikan menjadi wadah menggalakkan pembentukan budaya baharu yang perlu diterapkan dalam institusi pendidikan.

“Apabila kita sebut tentang reformasi pendidikan, ia tidak boleh berbentuk dokumen, malah ia mesti hidup dalam bilik darjah.

“Hubungan antara guru dan murid, keputusan yang dibuat oleh pemimpin di sekolah, ini merupakan usaha yang memastikan tiada anak yang tercicir daripada peluang pendidikan ini,” katanya ketika melancarkan program NYALA 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap sumbangan dan pencapaian warga serta institusi pendidikan yang menyerlahkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Penilaian berpaksikan SKPM Kualiti @ Sekolah (SK@S) turut bertujuan meningkatkan kualiti pengurusan dan tadbir urus, selain memperkukuh kerjasama strategik dalam kalangan jabatan pendidikan.

Tahun lalu, seramai 55 penerima daripada 11 kategori menerima anugerah berkenaan, manakala edisi 2026 menyaksikan peningkatan kepada 78 penerima daripada 15 kategori di seluruh negara.

Datuk Seri Fadhlina turut berkongsi, reformasi pendidikan perlu memberi impak langsung kepada murid, termasuk aspek keselamatan, kaedah pembelajaran dan pembentukan moral, tanpa mengira sekolah di bandar atau luar bandar.

Anugerah NYALA 2026 dianjurkan KPM bersama rakan strategiknya, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), dengan penilaian dilaksanakan oleh Jemaah Nazir sebagai badan pemastian kualiti dan standard pendidikan.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif YGTHO, Zahiruddin Mohammad Hanif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.