
KUALA LUMPUR, 25 November – Keluarga Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa dan ucapan takziah susulan pemergian tokoh kesusasteraan itu.
- Az Abd Samad berkata keluarga menerima perkongsian kenangan daripada masyarakat yang mengenali bapanya dan karya penulisannya.
- Beliau berterima kasih atas perkongsian kecintaan terhadap seni, karya dan sumbangan Allahyarham.
- Az berharap sikap bapanya yang tidak berhenti menambah ilmu dapat dijadikan teladan, khususnya oleh generasi muda.
- Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq.
Anak Allahyarham, Az Abd Samad berkata, keluarga menerima pelbagai perkongsian kenangan daripada masyarakat yang mengenali bapanya, sama ada secara peribadi mahupun menerusi hasil penulisannya.
“Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana berkongsi cinta pada seni itu, cinta pada karya ayah saya dan sumbangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Mengulas legasi Allahyarham, Az berharap sikap bapanya yang sentiasa berusaha menambah ilmu dapat dijadikan teladan, khususnya kepada generasi muda.
“Ayah saya sehingga usianya yang lanjut, dia tak berhenti membaca dan menelaah buku, kadang-kadang buku itu dibaca ulang-ulang.
“Jadi kita pada peringkat apa pun kita sentiasa boleh meningkatkan ilmu kita, pengalaman kita daripada pengalaman orang lain dalam buku dan bacaan kita,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 10.55 pagi selepas disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini.
Lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penggiat seni dan orang ramai menyertai solat jenazah berkenaan.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta tokoh kewartawanan, Datuk A. Kadir Jasin.
Turut hadir di tanah perkuburan ialah tiga Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur selepas menerima rawatan akibat sakit tua, selain menghidap diabetes.