
KUALA LUMPUR, 25 November – Hala tuju industri unsur nadir bumi (REE) negara kini beralih daripada penjualan sumber mineral mentah kepada penguasaan teknologi dan pembangunan kepakaran bagi memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri berkenaan.
- Kerjasama Mining Sumber Pahang dan Carester membangunkan loji pemisahan REE di Perak.
- Lynas Rare Earth dan JS Link menjalin kerjasama bernilai RM1 bilion untuk membangunkan kilang magnet kekal di Kuantan.
- Kilang itu dirancang berkapasiti 3,000 tan metrik setahun dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan negara menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi, sekali gus memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat.
“Antara pencapaian positif yang telah dicapai setakat ini ialah, yang pertama, kerjasama strategik antara Kumpulan Mining Sumber Pahang dengan Carester daripada Perancis melalui MoU yang telah dimeterai pada Julai 2025 bagi pembangunan loji pemisahan REE di Perak dengan cadangan kapasiti pemprosesan sebanyak 13,000 tan metrik setahun.
“Dan yang kedua adalah kerjasama antara Lynas Rare Earth dengan JS Link Incorporated daripada Korea Selatan melalui perjanjian kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion pada Julai tahun ini bagi pembangunan kilang pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang dengan kapasiti pengeluaran yang dirancang sebanyak 3,000 tan metrik setahun dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan kajian tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), negara dianggarkan mempunyai sumber REE sebanyak 16.1 juta tan metrik, dengan taburan sumber terbesar dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah.