
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin di Parlimen
KUALA LUMPUR, 25 November – Sabah berpotensi dipilih sebagai lokasi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dan ekosistem lembah tanpa pemandu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- MITI dan NAICO merangka Pelan Hala Tuju LAE negara hingga 2040, termasuk kesiapsiagaan regulasi dan penetapan makmal hidup.
- Sabah mempunyai kelebihan dari segi keluasan, bentuk muka bumi dan keperluan akses ke kawasan pedalaman.
- Aplikasi LAE berpotensi merangkumi penghantaran bekalan perubatan, pertanian pintar, pemeriksaan infrastruktur serta operasi mencari dan menyelamat.
- Pembangunan bakat tempatan akan melibatkan syarikat pemula, PMKS, institusi TVET dan universiti bagi memastikan pemindahan teknologi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO) kini merangka Pelan Hala Tuju LAE negara hingga 2040, merangkumi kesiapsiagaan regulasi serta penetapan makmal hidup (living lab).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, Sabah mempunyai kelebihan dari segi keluasan, bentuk muka bumi serta keperluan akses ke kawasan pedalaman, dengan perbincangan awal mengenai potensi itu telah diadakan bersama kepimpinan negeri.
Antara aplikasi berpotensi termasuk penghantaran bekalan perubatan ke kawasan pedalaman, pertanian pintar, pemeriksaan infrastruktur serta operasi mencari dan menyelamat.
“Secara keseluruhannya, kerajaan bersedia mempertimbangkan semua negeri termasuk Sabah sebagai lokasi pembangunan ekonomi altitud rendah, dengan daerah tertentu ditetapkan sebagai makmal hidup,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin mengenai potensi Sabah dipilih sebagai lokasi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dan ekosistem lembah tanpa pemandu di bawah RMK13.
Mengenai pembangunan bakat tempatan, beliau berkata penyertaan syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta universiti di Sabah akan diberi perhatian bagi memastikan pemindahan teknologi dapat dilaksanakan selepas kerangka regulasi dimantapkan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Pasu mengenai agihan pelaburan ke negeri-negeri di luar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, termasuk Kedah, beliau berkata kerajaan menyediakan insentif lebih baik bagi kawasan kurang membangun.
“Mungkin Kedah mempunyai kelebihan dari segi kos yang lebih rendah dan ketersediaan tenaga kerja. Jadi, strategi baharu seperti menarik pelabur dari negeri maju wajar dipertimbangkan, selagi ekosistem negeri bersedia,” katanya.