UKM teliti syor PAC, terus perkukuh tadbir urus

Gambar hiasan/UKM

BANGI, 25 November – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan meneliti setiap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memperkukuh langkah penambahbaikan tadbir urus, pengurusan kewangan dan pentadbiran universiti yang dilaksanakan sejak Julai 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • UKM memandang serius rumusan dan syor PAC serta akan menelitinya bagi memperkukuh tindakan penambahbaikan.
  • UKM menubuhkan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus dan melantik perunding bebas untuk menilai tadbir urus, kewangan serta perolehan.
  • UKMShape distrukturkan semula sebagai Pusat Tanggungjawab, dengan pengurusan kewangannya dipusatkan di bawah Jabatan Bendahari.
  • UKM memperkasa mekanisme pengawasan dan membangunkan kod tatakelakuan bagi memupuk integriti, profesionalisme serta akauntabiliti.

UKM menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius rumusan serta syor PAC yang dibentangkan kelmarin.

Menurut UKM, isu yang dibangkitkan PAC pada asasnya telah dikenal pasti dan dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan pada 21 Julai 2025 serta LKAN 1/2026 pada 23 Februari 2026.

Susulan penemuan dan syor LKAN berkenaan, UKM telah melaksanakan beberapa langkah pembetulan dan penambahbaikan secara berperingkat sejak Julai 2025, sebelum pembentangan laporan PAC.

Antaranya termasuk penubuhan Jawatankuasa Ad Hoc Tadbir Urus (AHGC) bagi memperkukuh kerangka tadbir urus universiti serta pelantikan perunding bebas untuk menilai amalan tadbir urus, pengurusan kewangan dan perolehan UKM.

UKM turut membatalkan status UKMShape sebagai Unit Perniagaan Strategik (SBU) dan menstrukturkan semula entiti itu sebagai Pusat Tanggungjawab (PTj) UKM.

Pengurusan kewangan UKMShape turut dipusatkan di bawah Jabatan Bendahari bagi memperkukuh kawalan dan pemantauan kewangan universiti.

Langkah lain termasuk memperkasa fungsi Pusat Integriti dan Ombudsman serta Pejabat Penasihat Undang-Undang bagi memperkukuh mekanisme pengawasan, integriti dan akauntabiliti universiti.

UKM turut membangunkan Kod Tatakelakuan UKM (UKM Code of Conduct) dan panduan The UKM Way bagi memperkukuh budaya kerja berteraskan integriti dan profesionalisme.

“UKM menghormati peranan PAC sebagai mekanisme semak dan imbang Parlimen.

“Setiap syor PAC akan diteliti bagi memperkukuh lagi tindakan penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan susulan LKAN,” menurut kenyataan itu.

UKM turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti serta akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.