
KUALA LUMPUR, 24 November – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai medan pertemuan ulama, ilmuwan dan pemikir dunia Islam dalam usaha menyuburkan tradisi keilmuan serta penghayatan Islam berteraskan ilmu dan hikmah.
- Kehadiran ulama antarabangsa memperkasa budaya keilmuan dan kefahaman Islam berlandaskan nilai serta disiplin ilmu yang sahih.
- Kehadiran tokoh ulama mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia mengimarahkan majlis keilmuan dan wacana intelektual Islam.
- Sheikh Usamah al-Azhari menyertai Majlis Sama‘ Hadis Jami‘ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026.
- Kerjasama ini diharap memperluas jaringan intelektual Islam antarabangsa dan menyuburkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, kehadiran tokoh ulama antarabangsa ke negara ini membuka ruang memperkasa budaya keilmuan, selain memperteguh kefahaman masyarakat terhadap Islam berlandaskan nilai dan disiplin ilmu yang sahih.
“Kehadiran tokoh seperti Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Al-Allamah Syeikh Prof. Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradhaghi dan Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Prof. Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari sebagai tetamu rasmi negara mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam mengimarahkan majlis keilmuan dan wacana intelektual Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, penglibatan Sheikh Prof. Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari sebelum ini adalah bersempena Majlis Sama‘ Hadis Jami‘ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya.
Sementara itu, Al-Allamah Syeikh Prof. Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradhaghi berada di Malaysia atas jemputan Perdana Menteri bagi menyertai beberapa program termasuk persidangan kewangan Islam, dialog kesatuan ummah atau wehdah ummah, Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana serta Himpunan Solidariti Palestin di Putrajaya.
Beliau berharap agar kerjasama berkenaan dapat memperluas jaringan intelektual Islam di peringkat antarabangsa, selain menyuburkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW.