Genosid Rohingya: UK bersama 13 negara iktiraf keputusan ICJ

Foto AFP

LONDON, 24 November – United Kingdom (UK) bersama 13 negara lain mengiktiraf keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya, susulan tindakan keras tentera negara itu pada 2017.

RINGKASAN BERITA AI
  • UK mengenakan sekatan terhadap lima pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.
  • UK menyediakan tambahan £5 juta untuk bantuan kemanusiaan dan £3 juta bagi usaha membawa pelaku pencabulan hak asasi ke muka pengadilan.
  • UK merancang memperkenalkan undang-undang untuk menyekat eksport dan pembekalan bahan api penerbangan ke Myanmar.

Keputusan bersejarah itu turut mendorong UK mengumumkan sekatan baharu terhadap lima pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan.

Menteri Luar 14 negara berkenaan dalam kenyataan bersama berkata, Myanmar telah melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid dan perlu mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah berkenaan.

“Kami menegaskan bahawa penghakiman mahkamah itu mengikat Myanmar dan menggesa negara itu mematuhi sepenuhnya kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan mahkamah berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Selain UK, negara terbabit ialah Australia, Belgium, Kanada, Cyprus, Republik Czech, Estonia, Iceland, Latvia, Luxembourg, New Zealand, Portugal, Sepanyol dan Gambia.

Setiausaha Luar UK, Ed Miliband berkata, keganasan serta penganiayaan terhadap etnik Rohingya tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

Dalam perkembangan sama, UK mengumumkan peruntukan tambahan £5 juta bagi menyediakan bantuan asas dan perkhidmatan menyelamatkan nyawa kepada kira-kira 350,000 penduduk Rohingya serta komuniti lain di negeri Rakhine.

Sebanyak £3 juta lagi akan disalurkan bagi memperkukuh usaha memastikan pihak bertanggungjawab terhadap pencabulan hak asasi manusia di Myanmar dibawa ke muka pengadilan.

UK turut merancang memperkenalkan undang-undang bagi menyekat eksport dan pembekalan bahan api penerbangan ke Myanmar.

Pada 19 November lalu, ICJ dalam keputusan bersejarahnya memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya ketika operasi ketenteraan pada 2017 di negeri Rakhine.

Keputusan itu merupakan kali pertama dalam sejarah 80 tahun ICJ mahkamah berkenaan memutuskan sesebuah negara melakukan genosid.

Bagaimanapun, kerajaan Myanmar menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil dan satu kekecewaan besar.

Susulan keputusan tersebut, UK sebelum ini turut mengumumkan tindakan mengusir atase pertahanan Myanmar dari negara berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.