500 pemuzik sasar cipta rekod Asia di Lenggong

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 November – Seramai 500 pemuzik bakal membuat persembahan secara serentak menerusi MegaJamz Lenggong Music Festival 2026 pada 29 November ini, sekali gus menyasarkan rekod baharu dalam Asian Book of Records.

RINGKASAN BERITA AI
  • LID 2026 membawa peserta mendekati warisan dan alam semula jadi melalui festival terbuka, program kebudayaan serta aktiviti luar.
  • Jo Branko akan membuat penampilan khas dalam persembahan muzik dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi Kementerian Dalam Negeri.
  • Lenggong dipilih kerana pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia dan Geopark Global UNESCO; dialog menghimpunkan peserta dari 19 negara.
  • Festival Makanan Tradisional Lenggong menyasarkan 5,000 hidangan kebebe, disediakan 100 kumpulan yang melibatkan 400 peserta.

Acara di Lenggong, Perak itu merupakan antara pengisian utama Dialog Antarabangsa Lenggong 2026 (LID 2026) yang berlangsung dari 25 hingga 29 November ini.

Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dialog itu menggunakan pendekatan berbeza dengan membawa peserta mendekati sendiri warisan dan alam semula jadi menerusi aktiviti di luar ruang persidangan.

“Dialog ini tidak hanya mencungkil idea, mencari cadangan dan mendapatkan pandangan di dalam bilik berhawa dingin semata-mata.

“Sebaliknya, kita melaksanakan program di luar menerusi festival terbuka, program kebudayaan dan aktiviti di luar daripada kebiasaan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar, yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata pemuzik terkenal Jo Branko akan membuat penampilan khas dalam persembahan muzik serentak itu, dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Antara agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tambahnya, pemilihan Lenggong sebagai lokasi dialog berkenaan berikutan pengiktirafan berganda UNESCO yang dimiliki kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia dan Geopark Global UNESCO.

LID 2026 menghimpunkan peserta dari 19 negara termasuk Malaysia bagi membincangkan usaha memelihara warisan dan kelestarian alam.

Selain festival muzik, penganjuran pada 29 November turut menampilkan Festival Makanan Tradisional Lenggong yang menyasarkan penyediaan 5,000 hidangan kebebe menerusi penyertaan 100 kumpulan membabitkan 400 peserta.

Majlis penutup pada 29 November dijadual disempurnakan Menteri Besar Perak, selain menampilkan persembahan kumpulan nasyid dari Singapura, Al-Mizan dan Al-Jawahir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.