
SANDAKAN, 22 November- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di Batu 3, di sini, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,300 pada Jun lalu.
- Polis merampas sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter bersarung merah daripada suspek.
- Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah itu.
- Suspek mempunyai rekod lampau bawah Seksyen 326; kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata suspek ditahan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi menerusi Op Sentap di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, di sini.
Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter bersarung merah daripada suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lepas, melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil soal siasat awal, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah itu.
Suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan kes menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.