
KUALA LUMPUR, 22 November – Malaysia menghormati penghakiman yang disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November lalu berhubung “Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide (The Gambia v. Myanmar)”.
- ICJ memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine.
- Malaysia menegaskan komitmen menjunjung undang-undang antarabangsa dan kewajipan sebagai negara pihak kepada Konvensyen Genosid.
- Kerajaan akan memperjuangkan penyelesaian komprehensif berkekalan dan melaksanakan langkah konkrit meringankan penderitaan komuniti Rohingya.
- Malaysia akan mengadakan libat urus dengan PBB, OIC, ASEAN dan pemegang taruh lain mengenai isu berbangkit.
Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia menegaskan komitmen untuk menjunjung undang-undang antarabangsa, termasuk tanggungjawabnya sebagai negara pihak kepada Konvensyen Genosid.
“Hasil dapatan ICJ adalah selaras dengan pendirian Malaysia dalam melindungi semua golongan rentan yang terdedah kepada ancaman,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan bagi krisis yang berlarutan itu.
“ni termasuk dengan secara aktif melibatkan semua pihak berkaitan untuk melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini.
“Malaysia juga akan mengadakan libat urus dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan pemegang taruh lain dalam perkara-perkara berbangkit daripada penghakiman ini,” katanya.
Terdahulu, kes berkenaan dibawa ke ICJ oleh Gambia pada November 2019 atas dakwaan Myanmar melanggar Konvensyen Genosid ketika operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya di Negeri Rakhine pada 2017, yang memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Pada 19 November lepas, ICJ memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah konvensyen berkenaan.