
LIMA, 21 November –Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud melanda bahagian tengah Peru pada Jumaat.
- Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
- Beberapa kediaman mengalami kerosakan kecil, bekalan elektrik terganggu dan laluan lebuh raya disekat di sekitar Junin.
- Gegaran dirasai di Lima dan beberapa wilayah; tanah runtuh dan runtuhan batu dilaporkan, penduduk Miraflores mengosongkan bangunan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Menurut Kementerian Pertahanan Peru, gempa bumi itu berlaku pada pukul 7.09 malam waktu tempatan, kira-kira 30 kilometer barat laut bandar Junin, pada kedalaman 129 kilometer.
Ketua Pengarah Pertahanan Peru, Rafael Belaunde berkata, beberapa kediaman di sekitar Junin mengalami kerosakan kecil, selain gangguan bekalan elektrik dan sekatan lalu lintas di beberapa laluan lebuh raya.
Beliau turut mengesahkan tiada mangsa dilaporkan cedera atau mengalami kesan terhadap kesihatan akibat kejadian itu.
Gegaran turut dirasai di ibu negara Lima serta beberapa wilayah lain, termasuk Ancash, Ica, Ucayali, Cerro de Pasco, Huanuco dan Callao.
Ratusan penduduk dilaporkan mengosongkan bangunan di daerah Miraflores, Lima, ketika gempa berlaku.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan Peru memaklumkan, gegaran dirasai pada tahap sederhana hingga kuat, manakala pemantauan berterusan dilaksanakan di kawasan berisiko.
Sementara itu, Presiden Institut Geofizik Peru, Hernando Tavera berkata, gegaran kuat turut mencetuskan kejadian tanah runtuh dan runtuhan batu di kawasan lereng bukit.
Peru terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi merentasi Jepun, Asia Tenggara dan lembangan Lautan Pasifik.
Negara itu mengalami sekurang-kurangnya 400 gempa bumi setiap tahun, dengan kira-kira tiga perempat daripadanya terlalu lemah untuk dirasai penduduk. – AFP