
PUTRAJAYA, 21 November – Penganjuran Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi dan Al-Syamail Al-Muhammadiyah merupakan antara usaha terbaik kerajaan mengekang penularan hadis palsu di media sosial.
- Program memberi penjelasan dan sanad jelas tentang hadis, membantu peserta fahami kesahihan riwayat.
- Menyemai kesedaran awam supaya lebih peka menilai kesahihan hadis sebelum berkongsi di media sosial.
- Platform pendidikan untuk anak muda dan umum, mengurangkan penyebaran hadis palsu dengan memupuk rujukan kepada ulama berilmu.
Rata-rata peserta yang hadir ke program yang turut disertai 40 ulama dan ilmuwan tempatan serta antarabangsa termasuk 10 ulama hadis yang mempunyai sanad periwayatan hadis dari lapan negara di Masjid Putra di sini, mengakui memperoleh penjelasan serta sanad yang jelas mengenai sesebuah hadis.
Secara tidak langsung, penganjurannya membantu orang ramai untuk lebih peka mengenai sesebuah hadis.
Seorang peserta, Muhammad Amir berkata budaya penyebaran hadis palsu diyakini akan berkurangan sekiranya program seumpama itu dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
“Program seperti ini platform untuk anak-anak muda kerana kadang-kadang zaman sekarang ini, kita banyak lihat pihak-pihak dalam media sosial yang menggunakan hadis daif juga palsu dalam memberikan hukum.
“Jadi, dengan adanya penganjuran seperti ini, insya-Allah, di media sosial terutamanya diharapkan tidak akan ada lagi berlakunya penyebaran hadis palsu disebabkan adanya hadis-hadis sahih seperti ini,”katanya ketika dtemui RTM.
Seorang lagi peserta, Mohammad Nor Hafiz Mohammad pula berpendapat, program yang dianjurkan itu memberi pengajaran bagaimana ulama-ulama memperoleh ilmu sehingga sampai kepada Nabi Muhammad SAW.
“Program hari ini memang begitu meriah dengan pengajian yang disampaikan oleh para-para Masyaikh, majlis ini penuh dengan ulama-ulama yang memberikan sanad kepada kita.
“Jadi, bila ada pengajian macam ini, hadis itu kita dapat lebih tepat. Kita juga bimbang sekiranya kita mengambil hadis daripada orang tidak tidak tepat,” katanya.
Bagi Yusof Ikbal pula program itu sangat bermanfaat.
“Tambahkan lagi, bagi saya bagus untuk rakyat Malaysia. Kalau di luar tak ramai buat macam ini,” katanya.