- Pelabur fokus kepada data ekonomi AS termasuk anggaran kedua KDNK suku ketiga dan data inflasi PCE Oktober
- Perkembangan prospek kadar faedah Fed memberi impak kepada sentimen pasaran dan jangkaan pulangan
- Penutupan Wall Street sempena Thanksgiving dijangka mengurangkan penyertaan dagangan dan tingkatkan ketidaktentuan pasaran
- Tekanan jualan global sektor teknologi dan kebimbangan terhadap pulangan AI melemahkan sentimen serta mengurangkan pendedahan risiko pelabur

KUALA LUMPUR, 21 November – Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam keadaan berhati-hati minggu depan, dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global dan sentimen pelabur yang masih lemah.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, tumpuan pelabur dijangka terarah kepada data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) serta perkembangan prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Antara data yang menjadi perhatian ialah anggaran kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku ketiga 2026 dan data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi Oktober, yang dijadualkan diumumkan pada Rabu depan.
“Selain itu, penutupan Wall Street sempena sambutan Thanksgiving pada Khamis depan dijangka mengurangkan penyertaan dagangan, sekali gus berpotensi meningkatkan ketidaktentuan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Mengulas prestasi pasaran tempatan, beliau berkata Bursa Malaysia berdepan tekanan minggu ini susulan gelombang penjualan saham teknologi dan semikonduktor di peringkat global.
Sentimen turut terjejas oleh kebimbangan terhadap pulangan pelaburan dalam sektor kecerdasan buatan (AI), mendorong pelabur mengurangkan pendedahan kepada aset berisiko.
Bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 26.08 mata kepada 1,556.51 berbanding 1,582.59 pada minggu sebelumnya.