Menteri langgar adab dalam urusan kerajaan dinasihat letak jawatan – PM

Foto RTM

SHENZHEN, 19 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras bahawa mana-mana anggota pentadbiran yang melanggar peraturan dan adab berjemaah dalam urusan rasmi kerajaan selepas ini sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan berbuat demikian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbezaan pendapat mesti disalurkan secara tertutup, bukan dilontarkan dalam urusan rasmi seperti Parlimen.
  • Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menghantar surat rasmi memohon maaf; permohonan diterima dan beliau diingatkan agar tidak mengulangi kelakuan itu.
  • Perdana Menteri menghargai Presiden UMNO (Timbalan Perdana Menteri) kerana menjaga adab berjemaah dan menegaskan ruang mesyuarat Jemaah Menteri untuk teguran tertutup.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa walaupun perbezaan pendapat atau teguran dalam kalangan anggota Kabinet adalah perkara biasa, ia wajib disalurkan secara tertutup dan bukannya dilontarkan secara terbuka ketika menjawab urusan rasmi di Parlimen.

Kenyataan tegas itu susulan isu tular di media sosial beberapa hari lalu berhubung kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Dewan Rakyat yang disifatkan Perdana Menteri sebagai sedikit terlanjur daripada peraturan penjawat kerajaan.

“Semasa kempen saya masih boleh terima tetapi kalau dalam urusan kerajaan ini tidak boleh diizinkan. Dan kalau selepas ini ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan ataupun dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu. Kalau tidak setuju boleh bawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tegasnya.

Mengulas perkembangan kes tersebut, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad telah mengutus surat rasmi kepadanya bagi memohon maaf atas ketelanjuran berkenaan, dan permohonan itu telah diterima baik dengan peringatan agar perkara sama tidak berulang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana mengambil berat dalam memastikan adab berjemaah dan disiplin sistem kerajaan sentiasa dihormati.

“Saya faham kadang-kadang suhu politik terutama dalam masa pemilihan atau pilihan raya negeri menyebabkan kita terlajak. Namun, banyak hal yang kurang dipersetujui boleh ditegur secara tertutup dan saya berikan ruang sepenuhnya dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk rakan-rakan mengemukakan pandangan,” katanya.

Polemik tercetus ketika Datuk Seri Dr Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan peringkat dasar belanjawan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai janji penghapusan tol, beliau menyelitkan pantun berbentuk sindiran yang agak kasar berkaitan sokongan terhadap Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Namun, beliau telah mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri menerusi surat rasmi bertarikh 17 November 2026 yang dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri pada 18 November, mengakui pemilihan kata dalam pantun yang dilafaznya tidak sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.