PM arah siasatan menyeluruh kematian pelajar di Perak

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri merakamkan takziah dan mendoakan keluarga mangsa diberi kekuatan.
  • Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengesahkan kejadian dan mengarahkan sekolah bekerjasama penuh dengan polis.
  • JPN Perak menyediakan perkhidmatan bimbingan, kaunseling dan sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah terkesan.
  • Pengerusi meminta laporan penuh dari sekolah, PPD Kuala Kangsar dan JPN; orang ramai diminta hormati privasi, elak spekulasi.

Tegas beliau, tiada sebarang aspek boleh diketepikan dalam siasatan berkenaan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta kejadian seumpama itu tidak berulang.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Datuk Seri Anwar turut merakamkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan kejadian berkenaan dan mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

JPN Perak turut menyelaras perkhidmatan bimbingan, kaunseling dan sokongan psikososial kepada murid, guru serta warga sekolah yang terkesan.

Selain itu, hubungan dengan keluarga mangsa juga akan diteruskan secara berhemah, serta bantuan dan sokongan bersesuaian disediakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah memaklumkan, beliau telah meminta pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan JPN Perak menyediakan laporan penuh mengenai kejadian.

Orang ramai diminta menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.