Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 18 November – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Rabu, sejajar dengan kerugian yang dicatatkan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sentimen pasaran terjejas oleh permintaan tayar yang masih lembap dan keadaan pasaran hiliran yang lemah.
  • Harga minyak mentah lebih rendah susulan peningkatan inventori minyak mentah dan bahan api AS memberi tekanan kepada pasaran.
  • Kenyataan pegawai Fed yang condong ke dasar monetari lebih ketat dan ketegangan perdagangan AS dan China menjejaskan sentimen.
  • Jualan runcit dan pengeluaran pembuatan AS yang berdaya tahan serta jualan kenderaan SAIC Motor memberi sedikit sokongan kepada pasaran.

Beliau berkata sentimen pasaran terjejas berikutan permintaan tayar yang masih lembap, apabila pengeluar tayar terus berdepan keadaan pasaran hiliran yang lemah.

“Harga penanda aras minyak mentah yang lebih rendah susulan peningkatan inventori minyak mentah dan bahan api Amerika Syarikat (AS) turut memberi tekanan kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata bahawa kenyataan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung kepada dasar monetari lebih ketat serta ketegangan perdagangan AS-China yang semakin memuncak terus menjejaskan sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, jualan runcit dan pengeluaran sektor pembuatan AS yang kekal berdaya tahan pada Oktober, selain jualan kenderaan yang kukuh oleh SAIC Motor, antara pengeluar automotif milik kerajaan terbesar di China, memberikan sedikit sokongan kepada pasaran,” katanya.

Pada 3 petang, harga getah Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut 10.5 sen kepada 993.0 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal turun 4.0 sen kepada 764.5 sen sekilogram. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.