15 sekolah serlah inovasi alam sekitar

Program Toyota Eco Youth 2026

KLANG, 18 November – Kreativiti dan inovasi 15 sekolah menengah yang berjaya mara ke peringkat akhir Program Toyota Eco Youth 2026 terus menyerlah menerusi penghasilan projek penyelesaian isu alam sekitar yang berpotensi dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program anjuran UMW Toyota Motor bersama Kementerian Pendidikan memupuk kesedaran serta tanggungjawab pelajar terhadap pemeliharaan alam sekitar.
  • Sekolah Menengah St. Patrick, Sabah dinobat juara; hadiah RM30,000, naib juara SMK Taman Sutera RM20,000, ketiga Malay College RM10,000.
  • Siri Toyota Eco Youth ke-25 memberi manfaat kepada lebih 360,000 pelajar dan 720 sekolah seluruh negara.

Program anjuran UMW Toyota Motor dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan memupuk kesedaran serta tanggungjawab golongan remaja terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Ithnin Mahadi berkata, kesemua sekolah yang mara ke peringkat akhir berjaya menghasilkan projek berkualiti tinggi hasil kreativiti dan komitmen masing-masing.

“Kesemua 15 sekolah yang mara ke peringkat akhir tahun ini berjaya menghasilkan projek berkualiti tinggi dan berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya.

“Saya menggalakkan semua sekolah berkenaan mendaftarkan projek masing-masing untuk menyertai Junior Innovation 2027, sekali gus membuka peluang kepada hasil inovasi murid diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Toyota Eco Youth 2026 berlangsung di Wyndham Acmar Hotel, Klang, tengah hari tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Mr Takashi Obata dan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran Kurusamy.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah St. Patrick, Sabah, muncul juara menerusi projek Bioloop Carbon Innovator dan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Naib juara dimenangi SMK Taman Sutera, Johor, menerusi projek Algenius Sutera yang menerima RM20,000, manakala tempat ketiga menjadi milik The Malay College Kuala Kangsar menerusi projek MC Kitar4Impact dengan hadiah RM10,000.

Turut diberikan pengiktirafan ialah kategori Pembentangan Terbaik kepada Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan; Pameran Terbaik kepada Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Media Sosial Terbaik kepada Sekolah Menengah St. Patrick, Sabah. Setiap pemenang menerima RM5,000.

Anugerah Guru Paling Memberi Sokongan pula diberikan kepada Pang Zi Ying dari SM St. Patrick, manakala Anugerah Kelestarian dimenangi tiga sekolah, iaitu SMK Mohd Khalid, Johor, SMK Khir Johari, Kedah dan SMK Datuk Haji Mohd Nor Ahmad, Pulau Pinang.

Setiap sekolah yang mara ke peringkat akhir turut menerima wang tunai RM3,000 sebagai hadiah sagu hati.

Memasuki tahun ke-25 penganjurannya, Toyota Eco Youth telah memberi manfaat kepada lebih 360,000 pelajar dan komuniti menerusi penyertaan lebih 720 sekolah di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.