
KUALA LUMPUR, 18 November – Cadangan mewujudkan panel khas strategi pelaburan bagi memperkukuh kaedah pengurusan dan penilaian pelaburannya akan diteliti oleh Tabung Haji (TH)
- TH memberi perhatian kepada pengambilan tenaga profesional untuk menilai peluang dan memperbaiki kaedah pelaburan.
- TH mencatat pulangan lebih tinggi; contoh 3.5 peratus untuk 2025 selepas zakat berbanding kurang satu peratus.
- Perbandingan langsung dengan KWSP, PNB, KWAP dan LTAT tidak wajar kerana setiap institusi mempunyai mandat berbeza.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata TH memberi perhatian terhadap cadangan berkenaan agar institusi itu mempunyai tenaga profesional dan panel khusus yang meneliti peluang serta cadangan pelaburan.
“TH memberikan pulangan yang jauh lebih tinggi. Saya bagi contoh, 3.5 peratus bagi tahun 2025 setelah dilunaskan zakat berbanding kurang satu peratus bagi akaun kasarbank.
“Kami mengambil berat cadangan daripada Yang Berhormat (YB) Balik Pulau berkaitan pengambilan talent dan panel khas. Insya-Allah, TH akan teliti dan akan sentiasa memperbaiki kaedah pelaburan TH,” jelasnya.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) mengenai adakah perlu sekiranya TH perlu mewujudkan panel khas strategi pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain mengambil tenaga profesional untuk menilai peluang pelaburan semasa dan akan datang.
Dalam sesi sama, Datuk Muhammad Bakhtiar turut mempersoalkan kecekapan prestasi pelaburan TH berbanding institusi lain seperti KWSP dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi.
Menjawab persoalan berkenaan, Marhamah berkata perbandingan secara langsung antara TH dengan institusi pelaburan lain seperti KWSP, PNB, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah tidak wajar kerana setiap institusi mempunyai mandat berbeza.