
KEMAMAN, 18 November – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Sungai Mak Ikar, berhampiran Bandar Kerteh pagi tadi.
- Mangsa Muhamad Hafiz Razali, 34, dari Kerteh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
- Mangsa bekerja sebagai buruh ladang dan dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Kerteh ke Kampung Kemasik.
- Anggota BBP Kerteh mengambil kira-kira 30 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
- Jasad diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa Muhamad Hafiz Razali, 34, yang berasal dari Kerteh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Kerteh menuju ke rumahnya di Kampung Kemasik.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan dan terbabas ke dalam sungai,” menurutnya ketika dihubungi RTM.
Tambahnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
Jasad mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.