
BANGKOK, 18 November -Bahan kimia yang digunakan secara meluas kini dikenal pasti sebagai ancaman global yang semakin meningkat terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
- Laporan PBB dan WHO hasil lebih sedekad kajian saintifik membentangkan amaran berhubung bahaya bahan kimia pengganggu endokrin.
- Kos kesihatan dan alam sekitar akibat pendedahan kepada EDC dianggarkan melebihi satu trilion dolar Amerika setiap tahun.
- EDC mengganggu fungsi hormon dan boleh ditemui dalam mainan, alat solek, bahan binaan serta pakaian harian.
- Bukti semakin kukuh mengaitkan pendedahan EDC dengan gangguan saraf, masalah tingkah laku, pembiakan, diabetes jenis dua dan asma.
Amaran itu terkandung dalam laporan komprehensif Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan selepas lebih sedekad kajian saintifik dijalankan.
Laporan berkenaan menganggarkan kos kesihatan dan alam sekitar akibat pendedahan kepada bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) melebihi satu trilion dolar Amerika setiap tahun.
EDC merupakan bahan kimia yang boleh mengganggu, meniru atau menyekat fungsi hormon dalam tubuh manusia yang mengawal perkembangan serta fungsi organ.
Bahan kimia itu boleh ditemui dalam pelbagai produk harian termasuk mainan, alat solek, bahan binaan dan pakaian.
Laporan itu turut mendedahkan bukti saintifik yang semakin kukuh mengenai kaitan pendedahan kepada EDC dengan pelbagai masalah kesihatan.
Antaranya gangguan perkembangan sistem saraf, masalah tingkah laku serta gangguan sistem pembiakan termasuk penurunan jumlah sperma.
Selain itu, terdapat peningkatan bukti yang mengaitkan bahan kimia berkenaan dengan penyakit diabetes jenis dua dan asma.
Menurut laporan itu, peningkatan kes penyakit berkenaan dalam tempoh singkat berkemungkinan tidak dapat dijelaskan melalui perubahan genetik semata-mata.
Pekerja industri kimia dan kitar semula dikenal pasti antara golongan paling terdedah kepada risiko EDC, khususnya di negara yang mempunyai peraturan keselamatan yang lemah. – AFP