
PADANG BESAR, 18 November – Perkhidmatan ‘Lady Driver’ atau Pemandu Wanita yang semakin mendapat perhatian di Perlis didapati beroperasi tanpa lesen pengendali yang sah sekali gus dikategorikan sebagai aktiviti prebet sabu.
- JPJ menegaskan penyedia Lady Driver mesti patuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Perkhidmatan dipromosikan melalui Telegram dan Threads, fokus menemani wanita membeli-belah dan lawatan perubatan.
- JPJ rekod dua tindakan terhadap perkhidmatan ini; isu keselamatan dan perlindungan insurans dibimbangkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Noraini Mohd Nawi menegaskan alasan menawarkan perkhidmatan khusus kepada penumpang wanita tidak mengecualikan pengusaha daripada mematuhi undang-undang pengangkutan jalan, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, pengoperasian perkhidmatan tanpa lesen yang sah boleh menimbulkan isu keselamatan kepada penumpang termasuk ketiadaan perlindungan insurans.
“Konsep perkhidmatan ini sama seperti prebet sapu, cuma ia dipromosikan menerusi platform Telegram dan Threads dengan menawarkan khidmat membawa penumpang wanita.
“Perkhidmatan ini lebih tertumpu kepada menemani wanita membeli-belah, menghantar mereka ke hospital atau ke rumah saudara-mara, khususnya membabitkan anak-anak yang berada di luar negeri Perlis dan ibu bapa yang bimbang akan keselamatan mereka,” katanya.
Noraini berkata setakat ini, sebanyak dua kes berkaitan ‘Lady Driver’ telah diambil tindakan oleh JPJ Perlis di negeri berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media operasi penguatkuasaan kenderaan berpendaftaran Thailand di sini.
Mengenai penguatkuasaan kenderaan berpendaftaran Thailand, sebanyak 1,068 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Manakala, nilai kutipan saman turut direkodkan sebanyak RM257,430 bagi tempoh 2025 hingga Oktober 2026 terhadap kenderaan berpendaftaran Thailand.