Anggota polis maut kemalangan selamat dikebumikan

Ahli keluarga dan penduduk kampung bersama-sama menguruskan pengebumian jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tujoh/BERNAMA

TUMPAT, 18 November– Jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob yang maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Sungkai, Perak, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tujoh, Tumpat, Kelantan, kira-kira pukul 1.45 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, menimbulkan suasana pilu di kalangan keluarga dan penduduk kampung.
  • Jenazah dibawa van jenazah PDRM selepas bedah siasat di Hospital Tapah; lebih 100 jemaah tunaikan solat jenazah.
  • Isteri reda, mohon doa dan al-Fatihah kepada arwah serta menghargai bantuan pihak yang memudahkan urusan pengebumian.
  • Kemalangan van polis dipercayai akibat tayar belakang kiri pecah; 11 anggota terbabit, empat cedera parah, enam cedera ringan.

Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Kamariah Mohamed, yang meninggal dunia pada Mac lalu.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi ketibaan jenazah di Masjid Abdul Aziz Mukim Tujoh.

Jenazah dibawa menggunakan van jenazah Polis Diraja Malaysia, (PDRM), selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Tapah, Perak.

Lebih 100 jemaah hadir menunaikan solat jenazah sebelum Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Isterinya, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, yang reda dengan pemergian suaminya, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian.

“Selepas ni tak tau lagi, saya masih terkejut saya redha sebab suami saya memang sangat memuliakan seorang isteri dan arwah ibunya.

“Tolong doakan saya dan anak saya serta sedekahkan banyak banyak al- Fatihah kepada arwah suami saya,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Allahyarham, Nur Syaza Awatif Yaacob berkata arwah abangnya banyak membantu ahli keluarga.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia enam bulan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, van membawa 11 anggota polis terbabas di Kilometer 351.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dipercayai akibat tayar belakang kiri pecah.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat anggota cedera parah, manakala enam lagi cedera ringan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.