
NEW YORK, 18 November -Amerika Syarikat (AS) kehilangan status sebagai negara bebas campak selepas lebih 25 tahun susulan penilaian oleh sebuah suruhanjaya pakar, lapor agensi berita Jerman dpa.
- Suruhanjaya pakar WHO mengesahkan AS tidak lagi memenuhi kriteria selepas varian campak sama menular sekurang-kurangnya 12 bulan berturut-turut.
- Beberapa wabak berulang sejak awal 2025; CDC merekodkan kira-kira 5,400 kes setakat tahun ini dan beberapa kematian, termasuk kanak-kanak.
- Penurunan liputan vaksin MMR kepada 92.4 peratus berada di bawah ambang WHO 95 peratus yang diperlukan untuk cegah penularan berterusan.
Ketua Pejabat Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Benua Amerika, Jarbas Barbosa pada Selasa mengumumkan bahawa suruhanjaya itu mendapati AS tidak lagi memenuhi kriteria bagi pengiktirafan itu.
Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas varian virus campak yang sama didapati terus merebak dalam negara itu selama sekurang-kurangnya 12 bulan berturut-turut.
AS memperoleh status bebas campak pada 2000.
Bagaimanapun, status itu tidak bermakna negara berkenaan langsung tidak mencatatkan jangkitan, sebaliknya menunjukkan bahawa tiada rantaian penularan tempatan yang berterusan.
Mexico dan Bolivia juga tidak lagi dikategorikan sebagai negara bebas campak.
Sejak awal 2025, beberapa wabak campak berulang kali dilaporkan di AS, membabitkan penyakit yang sangat mudah berjangkit itu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, kira-kira 5,400 kes jangkitan direkodkan setakat tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda berbanding jumlah keseluruhan kes sepanjang tahun lepas.
Beberapa kematian berkaitan campak turut dilaporkan, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut CDC, lebih 100 wanita hamil dan sekurang-kurangnya 13 bayi baru lahir turut dijangkiti penyakit itu sepanjang dua tahun lepas.
Pakar mengaitkan penularan wabak berkenaan terutamanya dengan penurunan kadar vaksinasi.
Data CDC menunjukkan liputan vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) dalam kalangan kanak-kanak tadika menurun daripada 95.2 peratus kepada 92.4 peratus dalam tempoh enam tahun.
WHO memaklumkan bahawa kadar liputan vaksinasi sekurang-kurangnya 95 peratus bagi dua dos vaksin diperlukan untuk mencegah penularan campak secara berterusan. – BERNAMA