
KUALA LUMPUR, 17 November – Sektor pembetungan berpotensi memacu ekonomi kitaran baharu negara menerusi penjanaan tenaga daripada gas kumbahan, penghasilan baja biopepejal dan pembekalan semula air terawat kepada industri berimpak tinggi seperti pusat data.
- Peruntukan RM16.19 bilion melalui RMK13 untuk projek pembetungan baharu dan sambungan, memperkukuh infrastruktur serta menambah kecekapan pengurusan kumbahan.
- Keperluan meningkatkan keupayaan teknikal sektor bagi menangani cabaran pertambahan penduduk dan pembangunan pesat negara.
- Kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan mengenai penyelenggaraan tangki septik peribadi bagi mencegah pencemaran sungai dan ancaman kesihatan awam.
- Cabaran utama termasuk penyambungan premis bertangki septik individu ke sistem berpusat, kawasan perumahan lama tanpa sambungan, serta loji rawatan usang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan pengurusan sisa kumbahan berkapasiti tinggi, malah berpotensi menjana pendapatan baharu, sekali gus menyokong kelestarian sumber air negara.
Setakat ini, produk baja daripada biopepejal kumbahan yang diusahakan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah memperoleh pengesahan halal dan digunakan dalam sektor pertanian termasuk tanaman sayur-sayuran.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus kementerian bersama media, di sini.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), PETRA menerima peruntukan berjumlah RM16.19 bilion di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama bagi pelaksanaan projek baharu dan sambungan sektor pembetungan, selaras dengan usaha memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan kecekapan pengurusan kumbahan negara.
Menurut beliau, peruntukan itu turut mencerminkan keperluan meningkatkan keupayaan teknikal sektor berkenaan bagi menghadapi cabaran pertambahan penduduk dan pembangunan pesat negara.
“Tujuannya ialah untuk memastikan pertama sekali keselamatan kita, kedua kebersihan, kesihatan dan juga kita nak memastikan alam sekitar, sungai berada dalam keadaan yang baik yang akhirnya akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan rakyat, sebagai manusia,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Fadillah menegaskan, usaha memperkukuh infrastruktur pembetungan perlu disokong kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyelenggaraan sistem berkenaan, khususnya tangki septik persendirian.
Kegagalan menyelenggara tangki septik mengikut prosedur ditetapkan boleh menyebabkan limpahan kumbahan mengalir ke longkang dan sungai, sekali gus mencemarkan sumber air serta mengancam kesihatan awam.
Katanya, sistem pembetungan memainkan peranan penting dalam memastikan sisa kumbahan dirawat dengan sempurna sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar, meskipun perkhidmatan itu sering kurang mendapat perhatian kerana beroperasi di belakang tabir.
Antara cabaran utama sektor berkenaan ialah meningkatkan penyambungan premis yang masih menggunakan tangki septik individu kepada sistem pembetungan berpusat yang lebih cekap.
Masalah turut melibatkan kawasan perumahan lama yang tidak mempunyai sambungan sistem pembetungan sempurna, selain loji rawatan kumbahan yang usang atau tidak diselenggara dengan baik.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah memaklumkan, sehingga Oktober 2026, aset pembetungan awam di bawah pengurusan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) bernilai kira-kira RM22.69 bilion, merangkumi 7,618 loji rawatan kumbahan, 1,443 stesen pam, rangkaian paip pembetungan sepanjang 24,024 kilometer serta 4,653 lot tanah rizab pembetungan.