
SHENZHEN, 17 November – Malaysia akan menegaskan semula komitmen bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan mempertingkatkan kesalinghubungan pada Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELW) 2026 yang bermula esok hingga 20 November.
- Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara pada AELM ke-33 dan ucaptama pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2026.
- Malaysia menegaskan sokongan terhadap Wawasan Putrajaya APEC 2040 dan usaha menuju Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik.
- AELM 2026 menumpukan pengukuhan perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, pemanfaatan AI, ekonomi digital, inovasi serta pembangunan terangkum dan mampan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33 bagi mengetengahkan dasar dan pencapaian Malaysia, selain memperteguh iltizam negara terhadap penyepaduan ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2026.
“Berasaskan Wawasan Putrajaya APEC 2040 yang diterima pakai semasa Kepengerusian APEC Malaysia pada 2020, APEC terus memacu perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka dan adil, termasuk melalui usaha ke arah matlamat jangka panjang bagi mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP),” menurut kenyataan itu.
Sebagai salah sebuah ekonomi pengasas APEC sejak 1989, penglibatan aktif Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan agenda kerjasama ekonomi serantau, kemakmuran bersama dan pembangunan terangkum.
AELM ke-33 yang dipengerusikan oleh Presiden China Xi Jinping memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, pemanfaatan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan, serta kerjasama bagi pembangunan terangkum dan mampan.
Dalam pada itu, menjelang pembukaan rasmi AELM esok, beberapa pemimpin utama dilaporkan telah mula tiba di bandar raya ini dan mengadakan pertemuan awal dengan Xi.
Antara pemimpin yang telah tiba ialah Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Vietnam To Lam serta Presiden Chile Jose Antonio Kast.
Pemimpin kuasa besar lain, seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi turut dijadual menyertai persidangan berkenaan.
APEC kekal sebagai rakan dagangan utama Malaysia apabila ekonomi anggotanya menyumbang 79.7 peratus atau RM2.43 trilion daripada jumlah perdagangan negara pada 2025.
China selaku tuan rumah APEC 2026 merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia bagi tahun ke-17 berturut-turut dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (AS$126.81 bilion) tahun lepas.