
KUALA LUMPUR, 17 November – Kadar pengangguran di Sabah mencatatkan penurunan kepada 7.1 peratus atau seramai 22,700 orang, berbanding 7.9 peratus pada 2023.
- Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963.
- Isu perjawatan dibincangkan secara khusus menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan jawatankuasa kerja berkaitan perkhidmatan awam Sabah serta Sarawak.
- HRMIS mencatat 33,691 penjawat awam dari Sabah dan Sarawak sedang berkhidmat di Semenanjung sehingga 11 November 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, perkembangan itu berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan pelaksanaan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Beaufort mengenai peratusan pengisian jawatan profesional dan pengurusan oleh anak tempatan di Sabah dan Sarawak pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, isu berkaitan perjawatan turut dibincangkan secara khusus menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penubuhan jawatankuasa kerja berkaitan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah majlis berkenaan.
Kerajaan turut memberi keutamaan kepada anak tempatan dalam pengisian dan penempatan jawatan, selain memperkukuh pembangunan bakat tempatan.
Sementara itu, berdasarkan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), sehingga 11 November 2026, seramai 33,691 penjawat awam berasal dari Sabah dan Sarawak sedang berkhidmat di Semenanjung Malaysia.
Daripada jumlah itu, 17,734 orang berasal dari Sabah manakala 15,957 orang dari Sarawak.