
PUTRAJAYA, 17 November – Sekurang-kurangnya 10 agenda utama hasil perbincangan dan resolusi Festival Idea (FOI) Putrajaya 2026 akan dihimpunkan dalam Risalah Idea Malaysia sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.
- FOI bertujuan memastikan idea festival diterjemahkan kepada dasar dan penyelesaian memberi manfaat kepada rakyat.
- FOI 2026 menampilkan 20 pengisian merentasi tujuh zon, 16 sesi yang menghimpunkan 72 tokoh dan panelis.
- Penyertaan antarabangsa (Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye, Kazakhstan) memperkukuh pertukaran ilmu dan kerjasama serantau.
- Universiti perlu jadi pusat pemikiran, menterjemah penyelidikan kepada inovasi praktikal, teknologi masa hadapan mesti dipandu nilai untuk elak krisis kemanusiaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu bertujuan memastikan idea dan pandangan yang diketengahkan menerusi festival berkenaan dapat diterjemahkan kepada dasar serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“FOI 2026 menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), termasuk 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh, panelis dan pembentang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian FOI 2026, di sini, hari ini.
Festival tersebut turut menerima penyertaan delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.
Tambahnya, festival bertemakan ‘Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani’ itu turut menyediakan platform Walls of Ideas bagi membolehkan orang ramai menyumbangkan pandangan dan idea dalam membentuk hala tuju masa depan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan universiti perlu berperanan sebagai pusat pemikiran negara yang menghubungkan dunia akademik, industri, pembuat dasar dan masyarakat.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan hasil penyelidikan tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada inovasi dan penyelesaian praktikal.
“Malaysia perlu berani meneroka serta menguasai teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, tenaga hijau dan keselamatan siber, namun kemajuan berkenaan perlu dipandu nilai dan kebijaksanaan.
“Teknologi tanpa panduan nilai boleh mengundang krisis kemanusiaan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.